Penyakit Kelamin Tidak Sembuh Sendiri

KETERBUKAAN adalah permulaan dari keabadian suatu hubungan rumah tangga, termasuk soal kesihatan. Tanpa keterbukaan, penyakit yang dideritai boleh menular ke pasangannya.

Penyakit seksual menular atau penyakit kelamin menjadi momok dalam suatu hubungan pasangan suami isteri. Ketidaktahuan salah satu pasangan terhadap penyakit yang dideritai boleh menjadikan penderitaan bagi pasangan lain.

Ketika ini ada sejumlah penyakit menular seksual (PMS) yang disebabkan oleh bakteria, virus, protozoa, kulat, atau kutu. Penyakit yang disebabkan bakteria, seperti sifilis, gonorhoea, chlamydia. Sedangkan herpes, HIV, papilloma, dan moluscum disebabkan virus. Sementara itu, protozoa menyebabkan trichomonas, kulat menyebabkan candida, dan kutu menyebabkan scabies dan kutu celana.

"Namun, tidak selalu penyakit tersebut disebarkan melalui hubungan kelamin, boleh jadi melalui jarum suntik atau transfusi darah," ujar pakar kulit kelamin dari Siloam Hospitals dr Hannah KM Damar SpKK.

Masalahnya, sebahagian besar orang yang menderita PMS tidak mengetahui dirinya mengidap penyakit tersebut. Perkara itu tentu beralasan kerana PMS kadang-kadang tidak menimbulkan gejala yang jelas. Dengan begitu, ramai penderita tidak merasakan sakit kerana tidak merasai kesakitan, gatal, keluar cairan, atau gejala lain.

Jika setelah mengalami gejala tertentu, pasangan suami isteri pun memeriksa diri. Itu pun sudah terlambat kerana pesakit kerap datang dalam keadaan tahap akhir. Kemungkinan terburuk, pesakit tidak dapat dibantu lagi.

Itu sebabnya pemeriksaan awal dan rawatan yang sewajarnya diperlukan agar PMS tidak berkembang lebih parah. Ini kerana, infeksi yang ditimbulkan dengan mudah menyebar ke organ tubuh bahagian lain dan menyebabkan komplikasi yang serius.

Salah satu contoh, sifilis. Pada peringkat awal, penderita tidak merasakan sakit dan seolah-olah sembuh tanpa perubatan. "Akan tetapi, infeksinya masih ada selagi belum diubati secara sepenuhnya," tegas Dr.Hannah ketika menyarankan untuk segera memeriksakan diri jika ada luka, tumbuh atau menonjol, dan alat kelamin mengeluarkan lendir.

Sementara sifilis peringkat ketiga boleh menyebabkan kematian bagi penderitanya. Dalam peringkat ini, gejala yang ditimbulkan merupakan luka bernanah atau berlubang. Jika sudah dalam keadaan ini, semakin lama pembuluh darah akan semakin lemah dan berisiko pecah. Akhirnya, kematian mendadak boleh berlaku di masa-masa mendatang. Waktu yang diperlukan untuk mengalami kondisi terparah seperti ini hanya perlu 3-10 tahun.

Keengganan pesakit untuk memeriksa dan berjumpa doktor disebabkan masih kuatnya stigma buruk dalam masyarakat. Pemahaman yang kurang mengenai penyakit ini membuat pesakit sering mengabaikannya.

Pesakit biasanya mencuba-cuba mengubati sendiri menggunakan antibiotik yang mudah didapat di pasaran dan beranggapan semua masalah selesai. Padahal, penggunaan antibiotik secara berlebihan dapat menyebabkan kuman penyakit semakin kuat daya tahannya dan penyakit pun semakin sukar disembuhkan.

Rawatan medikal sangat diperlukan untuk menangani penyakit menular seksual. Pemeriksaan awal tidak hanya bagi pesakit yang sudah dijangkiti penyakit, juga untuk pasangan seksualnya selama ini.